Selamat Ulangtahun RTM ke-65 Tahun (1946 - 2011)

Selamat Ulangtahun RTM ke-65 Tahun (1946 - 2011)

Jumaat, 29 April 2011

SELAMAT BERSARA

Seluruh Warga Klasik Nasional mengucapkan selamat bersara
kepada Pengurus Radio Malaysia Klasik Nasional

Tuan Haji Chuari Selamat
01 Mei 2011

Terangnya api di Tanjung Andas
Nampak di laut kapal berinai
Sayang dan kasih boleh dibalas
Budi dan jasa tuan tidak ternilai.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi.

-------------------------------------------------
SYAIR BUAT HJ CHUARI SELAMAT
(Ciptaan: A. Razak Ismail) 
Dj Klasik Nasional

Sedihnya rasa di dalam hati,
Perginya tuan tiada pengganti,
Jasamu tuan kami ingati,
Darilah hidup sampai ke mati.

Haji Chuari orang budiman,
Kemana pergi jadi sebutan,
Bijak berpantun tiada terlawan,
Lirik lagunya jadi siulan.

Beliau ibarat sebutir permata,
Sebagai pemimpin pekerti mulia,
Tak kira tua ataupun muda,
Senyum terukir di bibir mesra.

Semoga tuan hidup bahagia,
Walau di mana tuan berada,
Panjang usia bertemua jua,
Dipelihara Allah sepanjang masa


--------------------------------------------------
SYAIR BUAT HJ.CHUARI SELAMAT
(Ciptaan: Anisma Azwati Ahmad)
Dj Klasik Nasional  

Sungguh merdu alunan suara
Di corong radio tika ke udara
Tiada dapat pengganti setara
Jiwa kental penuh aura

Hilang sebutir permata asli
Angkasapuri sedih sekali
Nilai budi tidak terbeli
Perjuangan seni terus digali

Terima kasih kata terindah
Untuk perwira bijak bermadah
Tanggungjawab kini tertunai sudah
Ringan beban tiada gundah

Jalan di depan ada cahaya
Doa diutus moga berjaya
Budi luhur jiwa yang kaya
Mana pergi orang percaya


------------------------------------------
 SYAIR BUAT HJ.CHUARI SELAMAT
(Ciptaan : Siti Norngaliah Mohd Salihin)
Sahabat Klasik Nasional

Dari dahulu hingga sekarang,
Tiada yang luak tiada yang kurang,
Lunak suaranya bukan sebarang,
Pantun nan indah selalu terkarang.

Irama dan lagu tak dapat dipisahkan,
Lirik mendayu beliau tuliskan,
Nama dan ganjaran pintanya bukan,
Bakatnya tidak disia-siakan.

Serata negeri nama dikenali,
Negara seberang tidak terkecuali,
Pantun dijual pasti dibeli,
Pusaka bangsa dijunjung tinggi.

Meskipun tugas berakhir kini,
Tiada penamat kerjaya seni,
Gemersik suara pasti menemani,
Di majlis ilmu di sana-sini.

Tuan permata amat berharga,
Terukir namamu di hati warga,
Tiadalah dua ataupun tiga,
Seribu tahun dikenang juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan