Selamat Ulangtahun RTM ke-65 Tahun (1946 - 2011)

Selamat Ulangtahun RTM ke-65 Tahun (1946 - 2011)

Rabu, 4 Mei 2011

ISU-ISU SEMASA MEI 2011

MEI 2011

PTPTN SEDIA RM6 BILION PINJAMAN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM6 bilion untuk pinjaman kepada lebih 235,000 penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta tahun ini.
Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata, peruntukan itu sebagai usaha berterusan kerajaan melahirkan generasi baru negara yang berpendidikan tinggi.
PTPTN menambah jumlah pinjaman daripada RM2 bilion kepada RM6 bilion tahun ini supaya pelajar dapat menumpukan perhatian penuh kepada pelajaran.

KDN NAFI BERI TARAF KERAKYATAN KERANA PILIHAN RAYA
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan bertindak sewenang-wenangnya meluluskan pemberian kerakyatan kepada rakyat asing semata-mata untuk menghadapi pilihan raya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata pemberian taraf kerakyatan kepada rakyat luar yang memohon dilakukan melalui peruntukan Perlembagaan sedia ada dan bukannya dilakukan secara sesuka hati.

6.2 JUTA HIDAP DUA PENYAKIT PESAKIT DIABETES, DARAH TINGGI BERUSIA 30 TAHUN KE ATAS MENINGKAT
Seramai 6.2 juta penduduk negara ini berusia 30 ke atas meghidap dua penyakit tidak berjangkit (NCD) utama iaitu diabetes dan darah tinggi yang menjadi penyebab utama kematian pramatang.
Mengikut Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) 2006 seramai 1.4 juta penduduk Malaysia dianggarkan menghidap penyakit diabetes dan selebihnya 4.8 juta darah tinggi atau hipertensi.
Amalan pemakanan sihat dan luangkan masa untuk bersenaman merupakan langkah pencegahan yang berkesan demi kesejahteraan kehidupan kita sekeluarga.

KENAIKAN HARGA GULA - PENIAGA JANGAN AMBIL KESEMPATAN
Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan harga gula, untuk menaikkan harga makanan.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Puan Mahani Tan Abdullah berkata, kenaikan harga gula tidak boleh dijadikan alasan untuk menaikkan harga makanan, kerana kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram, adalah minimum.

Kementerian akan membuat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga makanan sesuka hati. Beliau bercakap kepada media, selepas menyampaikan ucaptama pada seminar tadbir urus korporat di Kuala Lumpur. (BERNAMA)

GOLONGAN ORANG KELAINAN UPAYA (OKU) TERUS DIBANTU
Kerajaan akan terus komited membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komitmen kerajaan itu dapat dilihat menerusi peruntukan 218 juta Ringgit dalam Bajet 2011 untuk program bantuan kurang upaya, serta penubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti di seluruh negara.
Bagaimanapun, kerajaan masih mengharapkan penglibatan agensi bukan kerajaan sebagai rakan membantu. Datuk Seri Najib berucap melancarkan Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan Kanak-kanak di Ipoh, Perak.

PENDIDIKAN BERKUALITI LAHIRKAN MODAL INSAN
Menjadikan pendidikan berkualiti sebagai landasan bagi melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi. Itu matlamat utama kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata matlamat itu cukup penting dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Ia memerlukan sejumlah besar tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Peluang biasiswa yang disediakan, menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk membangunkan keupayaan generasi muda. Malah, ia juga dapat memberi kesempatan kepada pelajar untuk terus menyerlahkan potensi diri masing-masing. Beliau bercakap pada majlis penyampaian Biasiswa Nasional 2011 di Putrajaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan